Lama sangat Siti tak menulis di sini semenjak ada facebook ni (hehhehehe.. jangan marah ye, gurau saja). Memang adakala waktu amat terbatas, banyak sangat hal yang perlu diselesaikan.
Terakhir dahulu Siti menulis sebelum berangkat ke APM di Jakarta, Alhamdulillah, berkat sokongan padu para peminat semua, Siti membawa pulang 2 anugerah, Artis Popular Malaysia dan Artis Paling Popular Serantau. Amat bermakna kedua-dua anugerah tersebut untuk dicatatkan dalam perjalanan hidup Siti sebagai anak seni pada usia pembabitan ke 14 tahun ini.
Album Tahajjud Cinta juga sudahpun dikeluarkan dan berada di pasaran lebih kurang 3 bulan. Sambutan setakat ini amat baik dan harapnya jualan album original ini akan terus memberangsangkan. Siti mahu setiap seorang daripada peminat Siti mempunyai koleksi album ini kerana ia adalah album kerohanian pertama yang Siti rakamkan. Bagi yang telah mendapatkannya Siti ucapkan terima kasih.
Dan... Sabtu lalu (14 November), Konsert Seribu Warna telahpun dijayakan. Sukar untuk Siti menggambarkan bagaimana perasaan Siti sewaktu mahu mengadakan konsert ini. Maklum saja Konsert Satu mendapat respons dan pujian yang amat baik dan Siti harus pertahankan dalam persembahan Siti seterusnya.
Setelah selesai menjayakannya, Siti amat gembira kerana Siti berasa amat puas. Sambutan anda yang hadir juga amat memberangsangkan. Siti amat berterima kasih kerana anda tidak pernah jemu menyokong, memberi semangat, bergabung antara satu sama lain untuk bersama-sama dengan Siti. Semangat inilah yang amat-amat Siti kagumi dan seperti yang anda semua tahu, Siti amat-amat menghargai apa jua sokongan dan usaha anda untuk kerjaya Siti selama ini.
Banyak lagi perkara yang harus dilakukan ke hadapan ini. Doakan agar Siti diberikan kesihatan yang baik, tenaga yang cukup untuk melaksanakan semuanya. Doakan bersama-sama ya.
Siti juga akan cuba menyiapkan album duet bersama Kris Dayanti tidak lama lagi. Album ini khas untuk semua peminat-peminat kami yang sanggup jatuh bangun bersama kami. Moga album ini akan diterima baik apabila dipasarkan nanti.
Sekian dahulu catatan Siti. Siti sayang anda semua.
Salam mesra selalu.