|
Written by Siti Nurhaliza
|
|
Thursday, 01 April 2010 00:00 |
 Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Tarikh yang amat besar ertinya buat kerja seni Siti iaitu hari ini, 1 April 2010. Siti berasa seperti tidak percaya bahawa perjalanan seni Siti sudah menjangkau usia 15 tahun. Banyak perkara yang telah Siti lalui, pengalaman yang bermacam-macam, keseronokan, kegembiraan, kesedihan, kedukaan namun semuanya menjadi amat manis pada hari ini kerana ia telah memberikan sesuatu yang amat besar dan tinggi maknanya dalam kehidupan Siti.Siti berbangga kerana mempunyai anda, SitiZoners dan peminat-peminat Siti yang lain selama ini. Andalah punca mengapa Siti berada di sini hari ini. Tanpa anda mungkin Siti bukan siapa-siapa. Siti akui banyak mendapat sokongan dan kekuatan daripada anda semua untuk terus bertahan. Siti mengambil kesempatan di sini untuk berterima kasih kepada setiap seorang daripada anda yang telah bersama-sama Siti selama ini, kepada keluarga, suami, peminat,pihak media, pihak-pihak dalam industri muzik dan sesiapa sahaja yang secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam kerjaya Siti. Siti akui terlalu besar jasa anda pada Siti dan tidak terbalas dengan apa jua namun seperti biasa, Siti akan terus berusaha memberikan yang terbaik buat anda. InsyaAllah selagi dipanjangkan usia dan diberikan kudrat olehNYa. Di laman ini (SitiZone), Siti telah mengumpul anda semua, begitu juga di facebook Siti, dan inilah 'keluarga' Siti. Ke mana-mana sahaja Siti pergi, Siti tidak pernah berasa sunyi kerana `keluarga' ini sentiasa ada bersama Siti. Anda menjadi satu dalam kehidupan dan kerjaya Siti, anda bersama-sama Siti dalam susah dan senang, anda memahami adakalanya Siti juga seperti orang lain memerlukan ruang sendiri dan adakala Siti berkongsi segalanya dengan anda. InsyaAllah, besar harapan Siti agar jalinan yang baik ini akan kekal sampai bila-bila. 15 tahun kekal dalam industri dan masih mencuba, belajar dan menerokai untuk menjadi yang lebih baik. Dua hari lepas Siti melancarkan produk Siti, Simply Siti dan ia adalah langkah untuk mengembangkan bidang perniagaan dan bergelar usahawanita. Inilah antara pengorbanan yang Siti buat kerana sebagai anak seni, Siti mahu membuktikan bahawa dengan kerjaya ini, InsyaAllah Siti juga mampu berjaya seperti orang lain. Terima kasih atas sokongan selama 15 tahun ini, terima kasih setulusnya daripada hati Siti. Siti menghargai dan menyayangi anda semua. Salam sayang. |
|
 Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua peminat Siti yang tetap setia melayari Sitizone.com. Apa khabar semuanya? Doa Siti agar anda dilimpahkan kebahagiaan dan kegembiraan selalu.Beberapa bulan kebelakangan ini banyak hal yang berlaku dalam kerjaya Siti. Bermula dengan pelancaran album CTKD dan kemudian syarikat Siti menerbitkan Konsert Satu Suara Aizat dan Faizal Tahir bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan pada 12-14 Februari yang lalu. Alhamdulillah konsert tersebut berjalan lancar dan mendapat maklumbalas yang baik daripada penonton yang datang. Itu adalah salah satu usaha syarikat Siti untuk menerbitkan konsert-konsert artis tempatan yang mempunyai bakat dan kebolehan yang tersendiri. Berbalik kepada album CTKD, album ini juga sudah mula dipasarkan di Indonesia selain di Malaysia, Brunei dan Singapura. Seorang kenalan yang berkesempatan ke Jepun baru-baru ini juga menemui album CTKD di kedai muzik di sana. Siti amat bersyukur kerana lagu-lagu dalam album ini diterima dengan baik dan gandingan Siti dan juga Kris Dayanti juga mempunyai simboliknya yang tersendiri. Kami yakin dengan bakat, muzik dan budaya dari negara masing-masing, kita mampu menjadikan perkongsian ini untuk mencipta ke arah persaudaraan antara negara dengan lebih erat lagi. Menjelang Anugerah Bintang Popular Berita Harian yang akan diadakan April nanti, Siti akui amat terharu dan berterima kasih sekali di atas sokongan, usaha dan juga pendekatan yang para peminat Siti cuba lakukan. Walaupun memang ini bukanlah kali yang pertama sokongan seumpama ini diberikan tetapi Siti tetap merasakan tidak pernah puas untuk mengucapkan terima kasih kepada anda semua. Walaupun tahun ini merupakan tahun terakhir Siti bersama ABPBH tetapi Siti mempunyai alasan yang tersendiri dan tidak pula berniat untuk membelakangkan peminat. Jauh sekali juga untuk takut zaman kejatuhan Siti kerana itulah antara yang diperkatakan oleh sesetengah pihak bila Siti mengambil keputusan begitu. Siti melihat masih banyak usaha dan sumbangan yang mampu Siti berikan kepada dunia seni dan Siti memperkaui bakat-bakat baru yang cemerlang dan tibalah masanya untuk Siti memberikan ruang kepada mereka mengecapi apa yang telah Siti perolehi selama ini. Ia tidak bersifat pentingkan diri atau sebagainya tetapi ia adalah atas kehendak dan pemikiran Siti sendiri. Kepada peminat semua, jika ada khabar terbaru mengenai apa jua projek Siti selepas ini, Siti akan umumkan kepada anda. Jangan lupa lapangkan diri anda melayari Sitizone.com dan juga Siti Nurhaliza Tarudin Official (Facebook). Salam sayang, Siti Nurhaliza. |
|
|
|
|
<< Start < Prev 1 2 3 4 5 6 7 Next > End >>
|
|
Page 1 of 7 |